Powered By Blogger

Saturday, December 31, 2011

Subhanallah..dah masuk tahun baru 2012.

Assalammualaikum...sungguh deras masa berlalu..sekejap cuma setahun telah sampai ke noktahnya. Esok menerjah ke tahun baru 2012. Kisah semalam masih berbekas tanpa menghitung suka dan duka. Detik waktu tanpa kita sedari berlalu meninggalkan kita tanpa menghirau siapa diri kita ini, bersedia mahupun masih terkial menyusun tatih dan langkah, mampu mahupun belum gagah menggalas dugaan dan cabaran masa hadapan. Siapa kita mahu menangguh waktu yang bukan hak kita. Hidup dan mati kita hak Allah dan kita hambanya harus sentiasa bersedia untuk itu. Nabi s.a.w berpesan mahupun kita tahu yang kiamat akan menjelang pada esok hari namun jika ada bersisa satu kebaikan untuk kita lakukan maka lakukan lah pada hari ini. Begitu sekali...namun perlu diinsafi..ambil lah dunia ini seumpama diri musafir lalu..jangan dianggap dunia menongkat langit dan diri hidup selamanya.

Saya menapak selangkah menjelang tahun baru dengan membaharui background blog ini dan berazam mahu menambah bilangan hasil tulisan didalamnya..dengan matlamat mahu menambah kapasiti berfikir dalam otak kurnian Allah ini. Selain mahu membentuk kelaziman yang positif, matang dan bermanfaat untuk diri sendiri dan orang lain. Insyaallah moga dipermudah dan dilapangkan Allah hasrat saya itu. Mengambil langkah untuk memastikan bahawa tulisan saya lebih bermakna, berilmu dan bermanfaat, saya perlu lebih sensitif, gigih, sabar dan kreatif dalam pemilihan topik,gaya bahasa,isi dan sumber. Semoga Allah meredhai niat saya ini dengan menyalakan mentol cahaya ilham, idea bernas dan pandangan yang telus, adil dan matang dalam segala sesuatu.

Di malam penghujung tahun ini dan menjelang pagi tahun baru esok, saya hanya ingin melahirkan saya bersyukur kehadrat Ilahi yang mengurniakan segala nikmat dunia kepada hambanya yang banyak berdosa ini. Kurniaan Allah yang tidak terhingga besarnya walaupun dalam kelalaian saya terhadap perintahnya. Nikmat tidur lena dimalam hari tanpa dentuman letupan menggegar telinga. Nikmat merasai hangatnya pelukan suami setiap gelap malam hari saya berbanding wanita palestin yang pasrah dengan nasib suami mereka. Alangkah nikmatnya hidup saya ini. Dikurniakan rezeki setiap detik dan waktu yang berlalu melalui udara yang dikerongkongan dan paru-paru ini, melalui zat-zat makanan yang mengalir dalam saluran darah tubuh saya ini dan melalui pancaindera yang lengkap dan sempurna tanpa mengira kejahilan dan kedurhakaan saya terhadap kekuasaannya.

Dengan doa agar Allah memberkati hidup saya dengan pengampunannya, saya berazam untuk menggali lebih banyak ilmu dunia dan akhirat...Pohon Allah melindungi saya dari segala dosa dan maksiat, fitnah dunia, nafsu yang tidak pernah puas serta meminta agar diberikan kekuatan menangkis godaan syaitan musuh umat manusia yang nyata. Mengurangi mana yang mudarat, meninggalkan segala larangan,kelaziman yang sia-sia dan bersederhana dalam semua perkara. Memohon juga diberi kekuatan untuk melaksanakan perintah Allah tanpa alasan dan penangguhan. Hambamu ini lemah dan hanya padamu kebergantungan hidup ku Ya Allah.